BAB 3
TEKANAN
EMOSI DALAM KALANGAN MURID
1.0 PENGENALAN
Pendidikan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam usaha
membangunkan negara serta minda rakyat kelas pertama. Pendidikan yang
berkualiti menjadi tunjang kepada negara bagi melahirkan generasi yang mampu
bersaing dalam era globalisasi kini. Tambahan lagi dalam Rancangan Malaysia
Kesepuluh (RMK10), pendidikan telah digariskan sebagai salah satu daripada
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan titik
permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian, RMK10
menetapkan umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6 tahun
ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi membolehkan murid memperoleh
pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal (Rancangan Malaysia Kesepuluh,
2010).
Namun bagitu, dunia
pendidikan bukanlah suatu bidang yang mudah untuk dikemudikan. Dunia pendidikan
tidak lari daripada menghadapi pelbagai isu dan cabaran sama ada secara
nasional mahu pun global. Setiap isu yang mendatangi dunia pendidikan pasti
akan mencuri tumpuan segenap lapisan masyarakat. Lantaran itu, individu yang
paling terkesan dalam isu-isu yang timbul pastinya insan yang bergelar “guru”.
Saban hari, saban tahun, guru tidak pernah lekang daripada menghadapi isu-isu
yang timbul sama ada isu pendidikan yang dipolitikkan, bebanan kerja guru serta
bebanan tingkah laku murid, semuanya ditangani satu per satu tanpa
membelakangkan etika keprofesionalan keguruannya.
Tekanan atau juga
disebut sebagai stres merupakan satu bentuk kecelaruan emosi yang kerap berlaku
pada masa kini. Individu yang menderita akibat tekanan biasanya menunjukkan
pemikiran yang negatif, enggan melibatkan diri dalam aktiviti dan kesukaran
berinteraksi secara interpersonal (Abbas & Lida, 2013). Dalam satu kajian
yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan
Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan
kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun
1996 (Utusan Melayu, 2011). Ternyata dapatan kajian ini amat membimbangkan dan
perlu diberi perhatian dengan lebih serius. Malahan tiada kajian lanjutan yang
menunjukkan masalah ini mengalami penurunan.
Tekanan juga disifatkan
dapat menyebabkan beberapa perubahan tingkah laku dan tubuh badan seperti
kesakitan fizikal, gangguan emosi dan psikologi serta kemerosotan prestasi
seseorang (Jerrold dlm. Mohamad Zaid et.al, 2009). Isu ini mungkin dianggap
remeh oleh sesetengah pihak namun jika dibiarkan tanpa jalan penyelesaian ia
akan memberikan kesan jangka panjang yang memudaratkan. Hal ini disokong oleh
Sapora (2001) dalam penulisannya menyatakan bahawa telah banyak kajian yang
dilakukan mendapati tekanan atau stres mempunyai hubungan yang kuat dalam
mempengaruhi pencapaian akdemik pelajar. Menguatkan lagi kenyataan ini,
Campbell dan Svenson (dlm. Mastura et.al, 2007) menegaskan apabila tekanan
dilihat dari aspek negatif atau terlalu tinggi ianya boleh mendatangkan kesan
negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang lantas menjadikan
ia suatu fenomena yang membimbangkan.
Emosi pula membawa
definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang
terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi
takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati
dlm. Fariza, 2005). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi
sebagai satu perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah, takut, ketawa dan
menangis yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi serta fisiologi
pada seseorang. Oleh itu, emosi atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk
kepada individu yang mengalaminya jika tidak dapat dikawal dengan baik.
Rentetan daripada Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia yang
dijalankan, didapati bahawa 11% golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun
yang menghadapi tekanan emosi ini pernah terfikir untuk membunuh diri (Dewan
Siswa, 2012). Maka, dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam kalangan
murid boleh dikatakan sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan
emosinya akibat daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar kemampuan
mereka. Akta Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa kanak-kanak
dikategorikan mengalami gangguan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental
dan emosi sehingga menyebabkan gangguan mental dan tingkah laku, kebimbangan,
kemurungan, memencilkan diri dan menunjukkan tingkah laki permusuhan. Justeru,
setiap isu yang membawa kepada tekanan emosi murid perlu ditangani segera agar
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.
2.0 ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi dalam kalangan murid boleh berlaku dalam pelbagai bentuk
antaranya kegelisahan, menunjukkan tingkah laku distruptif dan mengasingkan
diri daripada elemen-elemen di persekitarannya. Sebagai seorang guru pelatih,
saya telah pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah bagi menjalani Program
Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum. Peluang mengenali empat buah sekolah
semasa PBS dan tiga buah sekolah semasa menjalani praktikum banyak memberi
pendedahan kepada saya isu-isu yang berlaku di sekolah sama ada melibatkan
pentadbir, guru mahu pun murid-murid. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid
juga pernah dihadapi beberapa kali. Menurut
Haliza dan Joy (2009), terdapat beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh
murid bagi mendapatkan perhatian guru, antaranya ialah murid sering membuat
tingkah laku yang mengundang kemarahan guru sama seperti kes ini. Sebagai
seorang guru yang bertanggungjawab, guru tidak boleh menghukum murid dengan
sewenang-wenangnya. Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang dihadapi di
rumah akan bertambah teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid, murid akan
melihat persekitaran sekolah sebagai satu ancaman baharu. Selanjutnya, ia akan
mengundang tingkah laku distruptif lain dan mungkin akan menimbulkan gejala
lain seperti ponteng dan pengambilan dadah untuk menenangkan diri sendiri.
Menurut Noriati et.al
(2010), murid yang mengalami gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap
seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan berkecenderungan
menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal.
Sikap-sikap yang dinyatakan sebegini sering ditunjukkan oleh seseorang murid apabila
beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau seorang yang pendiam dan pasif
di dalam kelas. Sikap ‘luar biasa’ murid
sebegini sememangnya amat bertentangan dengan penampilan luarannya. Menurut
Lailawati (2006), masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid
kebanyakannya adalah disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi seseorang yang
mempunyai emosi yang tinggi dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku sosial
yang rendah (Eisenberg & Febes dlm. Lailawati, 2006).
Sapora
(2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan kesan yang
negatif ke atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan positif. Menurut
Chan dan Rodziah (2012) dalam kajian mereka turut mendapati bahawa prestasi
akademik murid yang dikaji yang mengalami gangguan emosi daripada pelbagai
faktor berada pada tahap yang rendah. Hal ini kerana ketidakupayaan murid untuk
menangani gangguan yang dihadapi menyebabkan mereka terus mengabaikan
pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah mencatatkan beberapa kajian oleh
pengkaji-pengkaji barat dalam kajiannya antaranya ialah Allchin (1975), Ghuman
dan Sarles (1998) serta Weiner (1970) dan Adelson (1980) yang menunjukkan
gangguan emosi memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar. Selain itu,
guru-guru perlu menangani konflik yang dihadapi oleh murid agar ia tidak
menular dalam kalangan rakan-rakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah
terpengaruh dengan rakan-rakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif.
Menurut Haliza dan Joy (2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh
mendatangkan masalah disiplin lain dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan
yang mempunyai nilai dan kecenderungan yang sama. Sikap guru yang hanya
membiarkan tindakan murid-murid tanpa mengenakan sebarang tindakan akan
mempengaruhi murid lain untuk melakukan tindakan yang sama. Hal ini kerana
murid lain akan beranggapan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk
melakukan tindakan seperti murid yang bermasalah tersebut. Hukuman atau dendaan
perlu dikenakan kepada murid yang bermasalah bukan untuk menghukumnya secara
terus tetapi untuk membantunya menstabilkan emosinya. Di samping itu, tindakan
tersebut akan memberi gambaran kepada murid bahawa setiap murid yang melakukan
kesalahan tidak akan terlepas dari sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah
mereka merupakan guru di sekolah tersebut.
3.0 JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami
gangguan emosi ringan biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya
dan masih mampu untuk mengawal diri masing-masing. Malahan Tin (2000) pula
menyifatkan murid-murid yang mengalami gangguan emosi akan mempamerkan
kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak mampu bertindak balas dengan tepat
sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut menggariskan beberapa
tingkah laku yang menunjukkan gangguan emosi ringan seperti pemalu, sering suka
menyendiri, mudah tersinggung, sering marah, tidak mahu mengalah, kurang
disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan memukul rakan atau
guru. Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh murid-murid yang
bermasalah, mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu mengamuk, cepat
marah dan pencapaian akademik yang merosot. Menurut Sue et.al (dlm. Azizi dan
Tan, 2007), individu yang mengalami gangguan emosi boleh mendatangkan
ketidakselesaan yang subjektif atau mengganggu kebolehan seseorang untuk
berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali sehingga boleh menyebabkan
sindrom kemurungan dan mania. Tanda-tanda yang dialami oleh Ahmad dan Tuah
boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat sekiranya tidak diatasi dengan
lebih cepat. Ahmad dan Tuah juga memerlukan sokongan dan bantuan daripada
persekitarannya untuk mengatasi gangguan tersebut memandangkan tahap kognitif
mereka yang masih rendah.
Azizi dan Tan (2007)
melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda seperti Ahmad dan Tuah sebagai
individu yang menghidap sindrom mania. Hal ini kerana menurut penulisannya,
individu yang mengalami sindrom ini biasanya berasa riang dan bertenaga tetapi
mereka mudah melenting lebih-lebih lagi apabila dikritik atau dihalang daripada
melakukan sesuatu yang diingini. Tambahnya lagi, individu tersebut mengalami
masalah ketenangan perasaan yang tidak normal, misalnya gagal untuk memberikan
tindak balas yang sepatutnya apabila menerima berita buruk. Menurut Mary
(2001), sindrom mania merupakan penyakit yang membawa kepada perubahan emosi,
pemikiran, dan tingkah laku. Penyakit ini dikatakan menyerang hampir dua juta
penduduk Amerika Syarikat pada setiap tahun.
4.0 FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN
MURID
Murid-murid yang bermasalah, didapati mengalami gangguan emosi
disebabkan faktor keluarga. Keluarga
sememangnya sebuah institusi yang memainkan peranan penting bagi setiap
individu terutama anak-anak kecil. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013)
menyatakan ibu bapa merupakan pengaruh yang besar dalam membentuk tingkah laku
anak sejak dari kecil dan kecuaian ibu bapa untuk memahami peranan mereka akan
menjadikan anak-anak hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidupnya.
Perhubungan negatif antara ibu bapa dengan anak-anak boleh menimbulkan konflik
yang tinggi dan memberi tekanan terhadap ibu bapa dan anak-anak. Montemayor
(dlm. Sapora, 2005) berpendapat bahawa satu daripada konflik yang berlaku dalam
keluarga akan menimbulkan emosi yang kuat dan tidak sihat. Tambahan lagi
menurut Kasmini Kassim, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia, gangguan
emosi yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya
disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka (dlm. Fariza,
2005). Kehidupan ibu bapa yang sibuk
bekerja dan tidak mempunyai masa untuk bersama-sama dengan anak mereka
merupakan punca utama kepada gangguan emosi yang dihadapi oleh murid tersebut.
Sebagai ibu bapa, mereka perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap
anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah sekadar zahiriahnya sahaja dengan
menyediakan tempat tinggal mahu pun kelengkapan peribadi. Perkara yang lebih
penting ialah belaian kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Shaffer et.al.
(2011) dalam dapatan kajiannya menulis bahawa risiko kontekstual apabila berada
dalam keluarga yang tidak menyokong antara satu sama lain atau “unsupportive parenting” memberi kesan
terhadap emosi negatif kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan ibu bapa dalam memenuhi
keperluan emosi anak mereka menyebabkan emosi anak itu akan terganggu dan
mencari ruang untuk melempiaskan emosinya ketika berada di sekolah. Lantaran
itu, pelbagai salah laku dilakukan oleh murid tersebut.
Menurut Azizi dan
Badrulzaman (2010), murid yang mengalami gangguan emosi ini gagal melihat
keluarga sebagai suatu persekitaran yang sihat dan boleh memberikan kebahagiaan
serta rasa seronok kepada mereka. Tinjauan terhadap kajian-kajian lain seperti
Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz (1997) (dlm. Azizi dan Badrulzaman, 2010)
mencatatkan bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku merupakan
hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan. Fariza (2005) dalam
penulisannya juga menyatakan faktor keluarga turut menumbang kepada tekanan
emosi murid-murid. Emosi remaja dikatakan akan menjadi stabil jika keluarga
bahagia, sebaliknya jika berada dalam keluarga yang kucar-kacir maka emosi
murid akan terganggu. Azizi Yahaya, Nordin Yahaya dan Juriah Bachok (2010)
dalam kajiannya terhadap hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi
menunjukkan bahawa faktor keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9% selepas
jantina. Hal ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang sangat
penting dalam mempengaruhi emosi murid-murid. Mengulas lebih lanjut faktor
gangguan emosi dalam kalangan murid ini, Kasmini Kassim (1998) dalam kajiannya
bertajuk “Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma Terselindung” menyatakan gangguan
emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh berlaku disebabkan tertumpahnya
masalah dan konflik orang dewasa kepada kanak-kanak tersebut. Dalam kajian
tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino, Gatmann dan Sealey et.al.
(1986) yang menggariskan lima tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dikira
sebagai mendera emosi kanak-kanak, iaitu penolakan, pengasingan, menakutkan,
sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada kelima-lima tingkah laku tersebut,
tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh penjaga boleh dikaitkan dengan kes
Ahmad. Tingkah laku sikap tidak peduli ini didefinisikan sebagai menolak tindak
balas emosi, yang mana tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dengan sengaja
tidak mempedulikan usaha anak untuk mendapatkan kasih sayang daripada mereka.
Tambahan lagi,
kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini melayan anak mereka secara
mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak mempunyai perasaan terhadap
anak-anak malahan tidak mencuba untuk merapati dan membelai anak-anak tersebut
sehingga menyebabkan berlakunya konflik emosi dalam diri kanak-kanak tersebut. Fitrah manusia juga terutama bagi
kanak-kanak, kanak-kanak perempuan akan lebih mudah mendekati ayahnya manakala
kanak-kanak lelaki akan lebih seronok mendampingi ibunya. Hal ini turut
disokong oleh Teori Perkembangan Sosio-Emosi Sigmund Freud, iaitu kanak-kanak
lelaki akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih tertarik kepada
ibunya manakala kanak-kanak perempuan akan mengalami elektra kompleks iaitu
tertarik kepada ayahnya (Zakaria et.al., 2012). Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan, Norly (2010)
menyifatkan keluarga atau ibu bapa dianggap sebagai sosialisasi yang
mempengaruhi tahun-tahun awal kanak-kanak seharusnya menjadi model ekspresi
emosi kepada kanak-kanak. Hal ini kerana berdasarkan kajian yang dijalankan
oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam melahirkan
perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah laku bermasalah yang
tinggi. Justeru, kajian tersebut menyarankan agar kanak-kanak dan ibu bapa
mempertingkatkan kemahiran emosi sesama mereka.
5.0 PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI
DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering
dilihat berpunca dari rumah dan keluarga yang kucar-kacir. Namun begitu, guru
memainkan peranan penting bagi membantu murid-murid menangani masalah tersebut.
Hal ini kerana murid-murid menghabiskan masa hampir 8 jam berada di sekolah
setiap hari dan kadang-kala masa ini melebihi masa mereka bersama-sama ibu bapa
mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis disebabkan murid menghabiskan banyak
masa di sekolah, guru juga menjadi pemangkin kepada kecerdasan emosi murid.
Tambahnya lagi Pusat Perkembangan Kurikulum turut menggariskan bahawa terdapat
beberapa subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang boleh
memenuhi perkembangan emosi murid walaupun tiada satu subjek khas bagi
pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum. Justeru, di sinilah guru perlu
mencari ruang bagi membangunkan perkembangan emosi murid secara tidak langsung
dalam kurikulum yang dijalankan. Mohd
Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen yang membolehkan guru membantu
murid menangani tekanan emosi yang dihadapi. Antaranya ialah guru perlu
mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan belas kasihan. Dalam
aspek mempamerkan sentuhan peribadi
(personal touch), guru-guru perlu
berhubung dengan murid-muridnya secara profesional. Guru-guru akan mendorong
murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam kelas, mengambil berat dan
memahami setiap muridnya secara personal serta cuba memahami masalah yang
dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru berpeluang untuk mengenali
personaliti murid dengan lebih dekat di samping mengetahui latar belakang
keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang diperoleh oleh guru dapat
digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan emosi yang yang dilalui.
Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan memberi layanan yang
berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan masalah keluarga yang
dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak memahami masalah yang
dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan mencari jalan
alternatif bagi memuaskan dirinya.
Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru
akan sentiasa mengambil berat masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap
prihatin yang ditunjukkan oleh guru memberi peluang kepada murid untuk
berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang besar
daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada
individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar
yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan kasih
sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan lagi guru
sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid ketika berada
di sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk mempamerkan rasa belas
kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid. Abdul Ghani dan Abd. Rahman (2009) pula
berpendapat bagi menguruskan murid yang menghadapi gangguan emosi yang
menunjukkan masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan. Hal ini kerana mereka
mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi membentuk tingkah laku
murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran kritis merupakan elemen
dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting dalam aspek kemanusiaan ini ialah
keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini
akan membantu guru mengurus tingkah laku murid menjadi insan yang lebih
bertanggungjawab dan membentuk sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru
merupakan model terbaik bagi murid dan hubungan baik antara guru dan murid
boleh membawa kepada kecerdasan emosi murid yang lebih baik.
Roslee et.al. (2004)
dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan
kaunseling kelompok boleh digunakan bagi menangani masalah emosi dalam
kalangan murid. Kajian yang dijalankan terhadap kelompok anak-anak yatim
terpilih mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada perubahan sikap
yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal ini kerana dalam
kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan yang negatif
dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok. May dan Housley
(dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling kelompok boleh
ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara lebih berkesan dan
bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara terperinci. Dalam
kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai kemahiran seperti
membina perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas, berempati, dan memberi
dorongan minima yang dapat membantu melancarkan proses kaunseling kelompok yang
dijalankan.
6.0 KESIMPULAN
Mengikut kajian di negara
lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus
dalam kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus dalam kalangan remaja dan 15
hingga 20 peratus dalam kalangan dewasa. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pakar mendapati 10.5 peratus daripada
pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan. Gangguan
atau tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan
perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan
emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar
dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas. Kebiasaannya
kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau
rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka
lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh
menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan
memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara
memberontak atau menangis.
Berdasarkan
isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi dalam
kalangan murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah. Tekanan emosi
yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan pengetahuan
guru untuk menanganinya dengan baik. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid
turut mendorong Kementerian Kesihatan menjalankan kajian melalui projek rintis
Program Minda Sihat Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi, Utusan
Malaysia 2011). Beberapa buah sekolah menengah di seluruh Malaysia telah
dipilih bagi menjalani projek rintis ini.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai
pada waktu itu, projek rintis tersebut akan diperluaskan di semua sekolah
sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan murid dan warga
sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku.
Keprihatinan pihak kementerian dalam memandang serius isu tekanan yang dihadapi
oleh murid amat wajar. Hal ini kerana murid yang berada dalam keadaan tertekan
pasti akan mengundang pelbagai masalah lain di samping tidak dapat menumpukan
perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu, seharusnya semua pihak termasuk ibu
bapa, guru-guru dan ahli masyarakat setempat saling membantu dalam menangani
isu ini.