BAB 3 : TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID



BAB 3
TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
1.0       PENGENALAN
Pendidikan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam usaha membangunkan negara serta minda rakyat kelas pertama. Pendidikan yang berkualiti menjadi tunjang kepada negara bagi melahirkan generasi yang mampu bersaing dalam era globalisasi kini. Tambahan lagi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), pendidikan telah digariskan sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan titik permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian, RMK10 menetapkan umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6 tahun ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi membolehkan murid memperoleh pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal (Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2010).

            Namun bagitu, dunia pendidikan bukanlah suatu bidang yang mudah untuk dikemudikan. Dunia pendidikan tidak lari daripada menghadapi pelbagai isu dan cabaran sama ada secara nasional mahu pun global. Setiap isu yang mendatangi dunia pendidikan pasti akan mencuri tumpuan segenap lapisan masyarakat. Lantaran itu, individu yang paling terkesan dalam isu-isu yang timbul pastinya insan yang bergelar “guru”. Saban hari, saban tahun, guru tidak pernah lekang daripada menghadapi isu-isu yang timbul sama ada isu pendidikan yang dipolitikkan, bebanan kerja guru serta bebanan tingkah laku murid, semuanya ditangani satu per satu tanpa membelakangkan etika keprofesionalan keguruannya.

            Tekanan atau juga disebut sebagai stres merupakan satu bentuk kecelaruan emosi yang kerap berlaku pada masa kini. Individu yang menderita akibat tekanan biasanya menunjukkan pemikiran yang negatif, enggan melibatkan diri dalam aktiviti dan kesukaran berinteraksi secara interpersonal (Abbas & Lida, 2013). Dalam satu kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan Melayu, 2011). Ternyata dapatan kajian ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian dengan lebih serius. Malahan tiada kajian lanjutan yang menunjukkan masalah ini mengalami penurunan.
            Tekanan juga disifatkan dapat menyebabkan beberapa perubahan tingkah laku dan tubuh badan seperti kesakitan fizikal, gangguan emosi dan psikologi serta kemerosotan prestasi seseorang (Jerrold dlm. Mohamad Zaid et.al, 2009). Isu ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun jika dibiarkan tanpa jalan penyelesaian ia akan memberikan kesan jangka panjang yang memudaratkan. Hal ini disokong oleh Sapora (2001) dalam penulisannya menyatakan bahawa telah banyak kajian yang dilakukan mendapati tekanan atau stres mempunyai hubungan yang kuat dalam mempengaruhi pencapaian akdemik pelajar. Menguatkan lagi kenyataan ini, Campbell dan Svenson (dlm. Mastura et.al, 2007) menegaskan apabila tekanan dilihat dari aspek negatif atau terlalu tinggi ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang lantas menjadikan ia suatu fenomena yang membimbangkan.
            Emosi pula membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati dlm. Fariza, 2005). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi sebagai satu perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah, takut, ketawa dan menangis yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi serta fisiologi pada seseorang. Oleh itu, emosi atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk kepada individu yang mengalaminya jika tidak dapat dikawal dengan baik. Rentetan daripada Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia yang dijalankan, didapati bahawa 11% golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun yang menghadapi tekanan emosi ini pernah terfikir untuk membunuh diri (Dewan Siswa, 2012). Maka, dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam kalangan murid boleh dikatakan sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan emosinya akibat daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar kemampuan mereka. Akta Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa kanak-kanak dikategorikan mengalami gangguan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi sehingga menyebabkan gangguan mental dan tingkah laku, kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri dan menunjukkan tingkah laki permusuhan. Justeru, setiap isu yang membawa kepada tekanan emosi murid perlu ditangani segera agar matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai. 



2.0       ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi dalam kalangan murid boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya kegelisahan, menunjukkan tingkah laku distruptif dan mengasingkan diri daripada elemen-elemen di persekitarannya. Sebagai seorang guru pelatih, saya telah pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah bagi menjalani Program Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum. Peluang mengenali empat buah sekolah semasa PBS dan tiga buah sekolah semasa menjalani praktikum banyak memberi pendedahan kepada saya isu-isu yang berlaku di sekolah sama ada melibatkan pentadbir, guru mahu pun murid-murid. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid juga pernah dihadapi beberapa kali.             Menurut Haliza dan Joy (2009), terdapat beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid bagi mendapatkan perhatian guru, antaranya ialah murid sering membuat tingkah laku yang mengundang kemarahan guru sama seperti kes ini. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, guru tidak boleh menghukum murid dengan sewenang-wenangnya. Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang dihadapi di rumah akan bertambah teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid, murid akan melihat persekitaran sekolah sebagai satu ancaman baharu. Selanjutnya, ia akan mengundang tingkah laku distruptif lain dan mungkin akan menimbulkan gejala lain seperti ponteng dan pengambilan dadah untuk menenangkan diri sendiri.
            Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal. Sikap-sikap yang dinyatakan sebegini sering ditunjukkan oleh seseorang murid apabila beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau seorang yang pendiam dan pasif di dalam kelas. Sikap ‘luar biasa’ murid  sebegini sememangnya amat bertentangan dengan penampilan luarannya. Menurut Lailawati (2006), masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid kebanyakannya adalah disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi seseorang yang mempunyai emosi yang tinggi dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku sosial yang rendah (Eisenberg & Febes dlm. Lailawati, 2006).
 Sapora (2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan kesan yang negatif ke atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan positif. Menurut Chan dan Rodziah (2012) dalam kajian mereka turut mendapati bahawa prestasi akademik murid yang dikaji yang mengalami gangguan emosi daripada pelbagai faktor berada pada tahap yang rendah. Hal ini kerana ketidakupayaan murid untuk menangani gangguan yang dihadapi menyebabkan mereka terus mengabaikan pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah mencatatkan beberapa kajian oleh pengkaji-pengkaji barat dalam kajiannya antaranya ialah Allchin (1975), Ghuman dan Sarles (1998) serta Weiner (1970) dan Adelson (1980) yang menunjukkan gangguan emosi memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar. Selain itu, guru-guru perlu menangani konflik yang dihadapi oleh murid agar ia tidak menular dalam kalangan rakan-rakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif. Menurut Haliza dan Joy (2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh mendatangkan masalah disiplin lain dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai nilai dan kecenderungan yang sama. Sikap guru yang hanya membiarkan tindakan murid-murid tanpa mengenakan sebarang tindakan akan mempengaruhi murid lain untuk melakukan tindakan yang sama. Hal ini kerana murid lain akan beranggapan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk melakukan tindakan seperti murid yang bermasalah tersebut. Hukuman atau dendaan perlu dikenakan kepada murid yang bermasalah bukan untuk menghukumnya secara terus tetapi untuk membantunya menstabilkan emosinya. Di samping itu, tindakan tersebut akan memberi gambaran kepada murid bahawa setiap murid yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dari sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah mereka merupakan guru di sekolah tersebut.    

3.0       JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami gangguan emosi ringan biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya dan masih mampu untuk mengawal diri masing-masing. Malahan Tin (2000) pula menyifatkan murid-murid yang mengalami gangguan emosi akan mempamerkan kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak mampu bertindak balas dengan tepat sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut menggariskan beberapa tingkah laku yang menunjukkan gangguan emosi ringan seperti pemalu, sering suka menyendiri, mudah tersinggung, sering marah, tidak mahu mengalah, kurang disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan memukul rakan atau guru. Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh murid-murid yang bermasalah, mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu mengamuk, cepat marah dan pencapaian akademik yang merosot. Menurut Sue et.al (dlm. Azizi dan Tan, 2007), individu yang mengalami gangguan emosi boleh mendatangkan ketidakselesaan yang subjektif atau mengganggu kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali sehingga boleh menyebabkan sindrom kemurungan dan mania. Tanda-tanda yang dialami oleh Ahmad dan Tuah boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat sekiranya tidak diatasi dengan lebih cepat. Ahmad dan Tuah juga memerlukan sokongan dan bantuan daripada persekitarannya untuk mengatasi gangguan tersebut memandangkan tahap kognitif mereka yang masih rendah.
            Azizi dan Tan (2007) melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda seperti Ahmad dan Tuah sebagai individu yang menghidap sindrom mania. Hal ini kerana menurut penulisannya, individu yang mengalami sindrom ini biasanya berasa riang dan bertenaga tetapi mereka mudah melenting lebih-lebih lagi apabila dikritik atau dihalang daripada melakukan sesuatu yang diingini. Tambahnya lagi, individu tersebut mengalami masalah ketenangan perasaan yang tidak normal, misalnya gagal untuk memberikan tindak balas yang sepatutnya apabila menerima berita buruk. Menurut Mary (2001), sindrom mania merupakan penyakit yang membawa kepada perubahan emosi, pemikiran, dan tingkah laku. Penyakit ini dikatakan menyerang hampir dua juta penduduk Amerika Syarikat pada setiap tahun.




4.0       FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Murid-murid yang bermasalah, didapati mengalami gangguan emosi disebabkan faktor keluarga. Keluarga sememangnya sebuah institusi yang memainkan peranan penting bagi setiap individu terutama anak-anak kecil. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013) menyatakan ibu bapa merupakan pengaruh yang besar dalam membentuk tingkah laku anak sejak dari kecil dan kecuaian ibu bapa untuk memahami peranan mereka akan menjadikan anak-anak hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidupnya. Perhubungan negatif antara ibu bapa dengan anak-anak boleh menimbulkan konflik yang tinggi dan memberi tekanan terhadap ibu bapa dan anak-anak. Montemayor (dlm. Sapora, 2005) berpendapat bahawa satu daripada konflik yang berlaku dalam keluarga akan menimbulkan emosi yang kuat dan tidak sihat. Tambahan lagi menurut Kasmini Kassim, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia, gangguan emosi yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka (dlm. Fariza, 2005).      Kehidupan ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk bersama-sama dengan anak mereka merupakan punca utama kepada gangguan emosi yang dihadapi oleh murid tersebut. Sebagai ibu bapa, mereka perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah sekadar zahiriahnya sahaja dengan menyediakan tempat tinggal mahu pun kelengkapan peribadi. Perkara yang lebih penting ialah belaian kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Shaffer et.al. (2011) dalam dapatan kajiannya menulis bahawa risiko kontekstual apabila berada dalam keluarga yang tidak menyokong antara satu sama lain atau “unsupportive parenting” memberi kesan terhadap emosi negatif kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan ibu bapa dalam memenuhi keperluan emosi anak mereka menyebabkan emosi anak itu akan terganggu dan mencari ruang untuk melempiaskan emosinya ketika berada di sekolah. Lantaran itu, pelbagai salah laku dilakukan oleh murid tersebut.
            Menurut Azizi dan Badrulzaman (2010), murid yang mengalami gangguan emosi ini gagal melihat keluarga sebagai suatu persekitaran yang sihat dan boleh memberikan kebahagiaan serta rasa seronok kepada mereka. Tinjauan terhadap kajian-kajian lain seperti Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz (1997) (dlm. Azizi dan Badrulzaman, 2010) mencatatkan bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku merupakan hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan. Fariza (2005) dalam penulisannya juga menyatakan faktor keluarga turut menumbang kepada tekanan emosi murid-murid. Emosi remaja dikatakan akan menjadi stabil jika keluarga bahagia, sebaliknya jika berada dalam keluarga yang kucar-kacir maka emosi murid akan terganggu. Azizi Yahaya, Nordin Yahaya dan Juriah Bachok (2010) dalam kajiannya terhadap hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi menunjukkan bahawa faktor keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9% selepas jantina. Hal ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang sangat penting dalam mempengaruhi emosi murid-murid. Mengulas lebih lanjut faktor gangguan emosi dalam kalangan murid ini, Kasmini Kassim (1998) dalam kajiannya bertajuk “Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma Terselindung” menyatakan gangguan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh berlaku disebabkan tertumpahnya masalah dan konflik orang dewasa kepada kanak-kanak tersebut. Dalam kajian tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino, Gatmann dan Sealey et.al. (1986) yang menggariskan lima tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dikira sebagai mendera emosi kanak-kanak, iaitu penolakan, pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada kelima-lima tingkah laku tersebut, tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh penjaga boleh dikaitkan dengan kes Ahmad. Tingkah laku sikap tidak peduli ini didefinisikan sebagai menolak tindak balas emosi, yang mana tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dengan sengaja tidak mempedulikan usaha anak untuk mendapatkan kasih sayang daripada mereka.

            Tambahan lagi, kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini melayan anak mereka secara mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak mempunyai perasaan terhadap anak-anak malahan tidak mencuba untuk merapati dan membelai anak-anak tersebut sehingga menyebabkan berlakunya konflik emosi dalam diri kanak-kanak tersebut.          Fitrah manusia juga terutama bagi kanak-kanak, kanak-kanak perempuan akan lebih mudah mendekati ayahnya manakala kanak-kanak lelaki akan lebih seronok mendampingi ibunya. Hal ini turut disokong oleh Teori Perkembangan Sosio-Emosi Sigmund Freud, iaitu kanak-kanak lelaki akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih tertarik kepada ibunya manakala kanak-kanak perempuan akan mengalami elektra kompleks iaitu tertarik kepada ayahnya (Zakaria et.al., 2012).           Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan, Norly (2010) menyifatkan keluarga atau ibu bapa dianggap sebagai sosialisasi yang mempengaruhi tahun-tahun awal kanak-kanak seharusnya menjadi model ekspresi emosi kepada kanak-kanak. Hal ini kerana berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam melahirkan perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah laku bermasalah yang tinggi. Justeru, kajian tersebut menyarankan agar kanak-kanak dan ibu bapa mempertingkatkan kemahiran emosi sesama mereka.

5.0       PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering dilihat berpunca dari rumah dan keluarga yang kucar-kacir. Namun begitu, guru memainkan peranan penting bagi membantu murid-murid menangani masalah tersebut. Hal ini kerana murid-murid menghabiskan masa hampir 8 jam berada di sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini melebihi masa mereka bersama-sama ibu bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis disebabkan murid menghabiskan banyak masa di sekolah, guru juga menjadi pemangkin kepada kecerdasan emosi murid. Tambahnya lagi Pusat Perkembangan Kurikulum turut menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun tiada satu subjek khas bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum. Justeru, di sinilah guru perlu mencari ruang bagi membangunkan perkembangan emosi murid secara tidak langsung dalam kurikulum yang dijalankan.          Mohd Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen yang membolehkan guru membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi. Antaranya ialah guru perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan belas kasihan. Dalam aspek mempamerkan sentuhan peribadi (personal touch), guru-guru perlu berhubung dengan murid-muridnya secara profesional. Guru-guru akan mendorong murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam kelas, mengambil berat dan memahami setiap muridnya secara personal serta cuba memahami masalah yang dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru berpeluang untuk mengenali personaliti murid dengan lebih dekat di samping mengetahui latar belakang keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang diperoleh oleh guru dapat digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan emosi yang yang dilalui. Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan memberi layanan yang berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan masalah keluarga yang dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak memahami masalah yang dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan mencari jalan alternatif bagi memuaskan dirinya.
            Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa mengambil berat masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh guru memberi peluang kepada murid untuk berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang besar daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan kasih sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan lagi guru sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid ketika berada di sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk mempamerkan rasa belas kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid.   Abdul Ghani dan Abd. Rahman (2009) pula berpendapat bagi menguruskan murid yang menghadapi gangguan emosi yang menunjukkan masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan. Hal ini kerana mereka mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi membentuk tingkah laku murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran kritis merupakan elemen dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting dalam aspek kemanusiaan ini ialah keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini akan membantu guru mengurus tingkah laku murid menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan membentuk sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru merupakan model terbaik bagi murid dan hubungan baik antara guru dan murid boleh membawa kepada kecerdasan emosi murid yang lebih baik.
            Roslee et.al. (2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan kaunseling kelompok boleh digunakan bagi menangani masalah emosi dalam kalangan murid. Kajian yang dijalankan terhadap kelompok anak-anak yatim terpilih mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada perubahan sikap yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal ini kerana dalam kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan yang negatif dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok. May dan Housley (dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling kelompok boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara lebih berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara terperinci. Dalam kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai kemahiran seperti membina perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas, berempati, dan memberi dorongan minima yang dapat membantu melancarkan proses kaunseling kelompok yang dijalankan.

6.0       KESIMPULAN
Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus dalam kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus dalam kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus dalam kalangan dewasa. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pakar mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan. Gangguan atau tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan.  Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas. Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.
Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi dalam kalangan murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah. Tekanan emosi yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan pengetahuan guru untuk menanganinya dengan baik. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid turut mendorong Kementerian Kesihatan menjalankan kajian melalui projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi, Utusan Malaysia 2011). Beberapa buah sekolah menengah di seluruh Malaysia telah dipilih bagi menjalani projek rintis ini. 

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis tersebut akan diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku. Keprihatinan pihak kementerian dalam memandang serius isu tekanan yang dihadapi oleh murid amat wajar. Hal ini kerana murid yang berada dalam keadaan tertekan pasti akan mengundang pelbagai masalah lain di samping tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu, seharusnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat setempat saling membantu dalam menangani isu ini.












  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

Cikgu Roziah Rasid said...

bernas, tepat dan jitu..

Unknown said...

BOLEH SY DAPATKAN RUJUKAN?

Post a Comment